KUALA LUMPUR 28 Dis. – Keadaan ekonomi negara dijangka stabil dan tidak ada tekanan dalaman atau luaran yang akan mengugat pembangunannya untuk terus berkembang.
Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussein Baharuddin memberitahu, kerajaan perlu terus membangunkan projek-projek ekonomi yang telah dirancang.
‘‘Saya berpendapat tidak akan berlaku tekanan atau gangguan terhadap pembangunan ekonomi negara, sebaliknya ia akan terus berkembang seperti apa yang kerajaan harapkan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas jangkaan keadaan ekonomi negara tahun hadapan yang dikatakan lebih mencabar.
Jelasnya, pembangunan ekonomi negara sekarang mengikut landasan yang betul dan perlu diteruskan bagi memastikan rakyat mendapat faedah.
Ujarnya, projek-projek kecil yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat juga perlu dilaksanakan.
Tambah beliau, satu perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah tidak menaikkan harga minyak, gula atau sebagainya yang menjadi keperluan asas rakyat kerana ia akan menganggu ekonomi rakyat.
‘‘Harga barang-barang keperluan itu telah cukup tinggi dan tidak perlu dinaikkan kerana ia akan menjejaskan pelbagai sektor yang bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara tetapi rakyat secara keseluruhan,’’ ujar beliau.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh memberitahu, ekonomi negara akan dapat bergerak dengan lebih baik sekiranya kerajaan dapat menggerakkan perbelanjaan domestik.
Katanya, perbelanjaan domestik pada masa ini dilupakan oleh kerajaan menyebabkan ia tidak menyokong sektor peruncitan negara.
‘‘Perbelanjaan domestik agak dilupakan oleh kerajaan menyebabkan sektor peruncitan negara tidak dapat berkembang dengan sihat,’’ katanya.
Beliau juga memberitahu, sektor itu seperti dalam industri tekstil kini dikuasai oleh peniaga-peniaga asing dari Pakistan, India dan Bangladesh sehingga menyebabkan pengaliran keluar wang negara.
‘‘Saya juga bimbang sekiranya sektor peruncitan ini tidak dikawal oleh kerajaan ia akan meningkatkan pengaliran masuk wang haram dari negara-negara tertentu.
‘‘Sehubungan itu saya berpendapat sektor peruncitan perlu ditadbir dengan lebih bersistematik dengan memastikan ia diusahakan oleh rakyat negara ini,’’ katanya.
Kerajaan tegas beliau, juga perlu membuat penetapan bahawa sektor peruncitan yang melibatkan modal RM1 juta ke bawah hanya dibuka kepada peniaga tempatan.
No comments:
Post a Comment