|
|
Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk di empat negeri yang berhadapan bencana banjir terburuk di negara ini, para mahasiswa di seluruh negara tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.
Berbekalkan tulang empat kerat, mahasiswa dari enam buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah bergabung tenaga untuk menyertai program mendampingi rakyat Negeri Kedah yang terbabit dengan bencana banjir baru-baru ini.
Menurut pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Ta Wee, 21, program sukarelawan membantu mangsa banjir yang dianjurkan oleh Majlis Kesukarelawan Universiti-Unversiti Malaysia (MASKUM) adalah sumbangan kepada masyarakat.
"Secara tidak langsung program sebegini mampu menerapkan nilai kemasyarakatan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
"Semangat 1Malaysia yang menjadi tunjang kepada penganjuran program ini telah berjaya mendapatkan penyertaan daripada universiti lain dan seterusnya membuatkan kami lebih berkobar-kobar untuk membantu mangsa banjir," katanya.
Sementara itu menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Merbok, Najmin Hana Azmi, 21, antara bantuan yang telah dilakukannya bersama 10 pelajar lain ialah membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka secara bergotong-royong.
Katanya, penyertaannya pada kali ini sungguh bermakna kerana dapat berbakti kepada mantan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam Kedah, Yahya Tahrin yang juga tempat dia menamatkan zaman persekolahan di sana.
"Sewaktu tiba di sana, kami berasa terkejut kerana melihat keseluruhan rumah yang dipenuhi lumpur manakala banyak barangan yang musnah akibat banjir.
"Mendengar pengalaman yang perlu dilalui bekas pengetua, saya berasa sungguh sayu. Lebih-lebih melihatkan raut wajahnya yang menyimpan seribu duka," katanya.
Pelajar lain semakin bersemangat untuk memberi pertolongan bagi membantu mengemaskan rumah keluarga Yahya Tahrin sebagai bantuan meringankan penderitaan yang perlu dilalui mereka.
Manakala pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Syairazi Mohd. Deli, 21, hanya rasa simpati yang mampu dizahirkannya apabila mendengar keluhan daripada mangsa banjir yang terpaksa mengikat perut selama 12 jam kerana terputus bekalan makanan.
"Walaupun berasa sedih dengan perkara yang menimpa keluarga tersebut, namun saya berasa sungguh bangga dapat menghulurkan bantuan di saat-saat mereka sangat memerlukannya.
"Selain bantuan tenaga, hanya kata-kata perangsang yang mampu disampaikan kepada mereka keluarga agar lebih cekal menghadapi hari mendatang," ujar mahasiswa yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu.
Sementara itu mantan Pengetua Kanan Cemerlang, Yahya Tahrin ketika ditemui memuji langkah MASKUM kerana sebagai bakal pemimpin pada masa depan, mereka seharusnya didedahkan dengan program kemasyarakatan seperti ini.
Tambahnya, mereka sekeluarga berasa sungguh terharu kerana sama sekali tidak menyangka masih ada yang sanggup membantu terutama dalam keadaan seperti ini walaupun bukan lagi menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam.
Program kemasyarakatan ini bermula sejak bilik gerakan mangsa banjir ini dibuka pada 1 November lalu hingga 14 November dan membabitkan enam buah IPTA iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), UiTM, USIM dan UUM yang bertindak selaku urus setia.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid, program khas peringkat MASKUM ini bertujuan menerapkan nilai kemasyarakatan di kalangan pelajar kampus.
Katanya, lebih 2500 pelajar yang terbabit dalam program ini telah diagihkan tugas masing-masing untuk membantu bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain dalam kerja-kerja pembungkusan bekalan makanan, pengagihan makanan, menguruskan tempat penempatan, menjalankan aktiviti dari segi emosi dan fizikal serta membersihkan rumah kediaman, kedai, surau, masjid, dewan, sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan juga kilang.
Kesemua sukarelawan tersebut telah berkampung di Taman Siswa UUM dan kakitangan UUM dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Keselamatan dan Pusat Islam universiti pula dipertanggungjawabkan untuk menyediakan makanan bagi semua petugas sepanjang bilik gerakan ini beroperasi.
No comments:
Post a Comment