KUALA LUMPUR 10 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi telah merumuskan rangka tindakan bagi membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) 2011-2020 selaras dengan usaha kerajaan bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rangka tindakan itu adalah berdasarkan kajian yang dijalankan mengenai keperluan modal insan yang cekap, berkemahiran dan berpengetahuan melalui inisiatif PSH.
Antara strategi dalam rangka tindakan itu adalah bagi menyediakan sokongan kewangan yang mencukupi bagi menyemai PSH sebagai cara hidup dan meningkatkan mekanisme dan infrastruktur bagi memudahkan PSH dan berharap ia akan bertindak sebagai satu dasar dan panduan pelaksanaan inisiatif PSH bagi dekad akan datang, katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan persidangan antarabangsa mengenai pembelajaran sepanjang hayat 2010 anjuran Universiti Utara Malaysia bersama Princess Naradhiwas University dan Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thailand.
Persidangan tiga hari itu disertai lebih 100 peserta dari 20 negara termasuk Australia, India, Kanada, Sweden, Jepun, Oman dan New Zealand. - Bernama
No comments:
Post a Comment