ARKIB : UTUSAN 25/09/2010
PUTRAJAYA 24 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru umat Islam agar tidak lagi diperhamba atau dikuasai oleh idea dan fahaman Barat dalam memakmurkan dunia ini.
Menurutnya, umat Islam seharusnya bersifat merdeka dan berupaya menjana ilmu serta teknologi dan penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang melanda manusia.
"Umat Islam perlu bertukar daripada hanya sebagai pengguna ilmu dan idea sedia ada kepada pemberi, peneroka atau penyumbang yang boleh dijadikan penyelesaian alternatif berinspirasikan keagungan agama Islam.
"Ia selaras tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi yang diberi amanah untuk memakmurkan alam ini," katanya.
Beliau menyampaikan ucapan balas selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Majlis Konvokesyen Khas USIM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut berangkat Canselor USIM, Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin.
Penganugerahan itu bertujuan mengiktiraf sumbangan beliau kepada perkembangan ekonomi Islam serta peranan Dr. Mahathir dalam mengangkat sistem kewangan Islam di persada antarabangsa di samping meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam.
Dr. Mahathir memberitahu, penjanaan pemikiran yang baik berteraskan agama untuk kebaikan manusia dan alam seharusnya menjadi tumpuan dan usaha berterusan di kalangan cendekiawan Islam.
"Ini bagi menghasilkan kaedah dan pendekatan yang boleh menandingi dan menyaingi malah mengatasi idea dan teori Barat yang kini menguasai serta mempengaruhi alam pemikiran global," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu umat Islam keluar dari dunia dan budaya Barat kepada arena yang lebih bermakna serta pendekatan penyelesaian yang lebih praktikal.
Katanya, sejak dari mula lagi, al-Quran menggalakkan umatnya berfikir dan mengkaji serta menyelidik.
"Banyak ayat al-Quran menyentuh perkara ini yang mendorong kelahiran para pemikir dan ilmuan pada zaman keagungan tamadun Islam," kata Dr. Mahathir.
No comments:
Post a Comment