ARKIB UTUSAN : 15/09/2010
Oleh PROF. MADYA DR. SAPORA SIPON
KETIBAAN Syawal adalah anugerah amat bermakna apabila ia disambut dengan perhimpunan ahli-ahli keluarga dan sanak saudara yang dapat membangkitkan suasana keceriaan serta keakraban penuh kemesraan.
Kemunculan Aidilfitri juga wajar dijadikan sebagai wadah yang menyambung, memperkukuhkan silaturahim dan masa paling sesuai untuk melupakan setiap perselisihan dengan bermaaf-maafan serta memberi maaf. Walaupun memohon maaf dan memaafkan adalah perbuatan mulia yang bukan sahaja dilakukan pada waktu perayaan, namun kehadiran hari raya tentunya satu peluang baik untuk melupakan segala sengketa dan bermaaf-maafan juga dapat menghasilkan kesan psikologi positif.
Apatah lagi, Islam mengajar umatnya memupuk satu masyarakat yang prihatin, penyayang dan saling bantu-membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, warna kulit ataupun fahaman politik. Hari raya juga adalah masa menzahirkan nikmat dan kesyukuran yang diterjemahkan dan dimanifestasi dalam bentuk tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian negara.
Dewasa ini, semakin banyak tindakan tidak sihat lahir akibat daripada ketidakmampuan untuk mengawal emosi dan keupayaan berfikir secara rasional. Dalam sebuah negara berbilang kaum yang mana jurang ekonomi masih lagi berlaku, tentunya bukan sesuatu yang mudah bagi setiap individu dan kelompok merasa puas hati.
Perasaan tidak puas hati ini jika tidak dilahirkan melalui saluran yang betul akan mudah sahaja membakar sentimen kemarahan. Justeru, kerasionalan emosi, berfikir dan bertindak memang amat dituntut oleh setiap rakyat negara ini dalam usaha mengekalkan keharmonian yang sedia ada.
Walaupun perbezaan pendapat, fahaman politik dan berlainan kaum, namun sebagai rakyat Malaysia, tentu sekali wajar untuk kita mengenepikan apa sahaja perbezaan tersebut untuk terus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara tercinta. Apa sahaja perbezaan yang wujud tidak perlu dilahirkan dalam bentuk sentimen yang merosakkan.
Rakyat negara ini perlu bersyukur kerana bukan sahaja rakyatnya bebas daripada sebarang tekanan besar, malah negara juga bebas daripada sebarang malapetaka dan bencana. Rakyat juga dapat melakukan ibadah dalam keadaan aman dan sempurna. Nikmat ini dapat dirasai kerana umat Islam di Malaysia merupakan masyarakat Islam yang progresif, berdisiplin, cekap dan berpengetahuan tinggi.
Inilah nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada umat Islam di Malaysia. Justeru, kita jangan lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT. Ketepikan perbezaan fahaman politik. Pengorbanan kepentingan diri diperlukan. Buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersatu dan meningkatkan martabat agama Islam.
Di samping itu, umat Islam di negara ini jangan lupa untuk memupuk hubungan baik dengan rakan-rakan daripada keturunan dan agama yang lain.
Kita perlu juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mempertahankan negara, pemimpin yang bekerja keras untuk rakyatnya termasuk setiap rakyat Malaysia yang ikhlas bekerja untuk terus menjadikan Malaysia negara yang selamat dan selesa didiami.
Sama-samalah kita membersihkan minda dan jiwa dari segala prasangka buruk dan sentiasa mensyukuri nikmat kemakmuran negara. Selamat Hari Lebaran.
Penulis ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment