Kadar bantuan OKU di IPT akan dinaikkan
TEMERLOH 3 Mei - Berita baik kepada pelajar kurang upaya yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) bermula sesi 2010/2011 ini.
Kerajaan akan menaikkan kadar bantuan bulanan kepada semua pelajar terbabit yang akan memulakan sesi pengajian pada Jun dan Julai ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kenaikan kadar bantuan itu membabitkan pelajar yang sedang dan bakal menuntut di IPT.
Menurutnya, semua pelajar berkenaan akan mendapat kenaikan bantuan bulanan yang lebih baik berbanding jumlah pada masa ini.
Katanya, pada masa ini, pelajar kurang upaya mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tambahan RM300 lagi daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
"Dengan kadar baru itu nanti, tiada alasan kepada golongan terbabit untuk tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program gotong-royong di Pusat Latihan Orang Buta Taman Harapan di sini semalam.
Saifuddin berkata, pada masa ini, terdapat seramai 979 pelajar kurang upaya mengikut pengajian dalam bidang sastera, undang-undang, ekonomi dan perbankan di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, kerajaan akan menjalankan kajian bagi mencari kursus kemahiran yang sesuai untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
''Kita juga sedang mengkaji institusi yang lebih sesuai bagi memberi peluang kepada golongan itu melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran yang diikuti mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment