KHAMIS lalu, Perdana Menteri mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sudah ditutup. Sebaliknya diumumkan pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa Januari lalu.
Berita itu amat menggembirakan 1.4 juta penjawat awam di semua peringkat perkhidmatan awam.
Sekarang penjawat awam baik daripada peringkat kumpulan Gred 1 hingga Gred 54, Kumpulan Gred Utama A, B, C, Gred Turus 3 dan 2 serta 1 mungkin terbayang jumlah yang bakal mereka terima pada hujung Mac ini atau April. Apatah lagi ditambah dengan bayaran gaji yang tertunggak sejak Januari lalu.
Senyuman boleh dilihat pada wajah-wajah penjawat awam untuk dua tiga minggu ini sehingga pelarasan gaji yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak itu menjadi kenyataan di dalam akaun bank masing-masing.
Ini bukti komitmen kerajaan pimpinan Najib sebagaimana yang diumumkan beliau dalam ucapan Belanjawan 2012 pada tahun lalu.
‘Hadiah’ kepada penjawat awam ini bukanlah kerana untuk menambat hati mereka supaya menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka semakin hampir.
Tetapi ia dibuat berdasarkan untuk mendahulukan kepentingan rakyat yang mana penjawat awam juga adalah rakyat. Dan ia juga berdasarkan peranan keseluruhan penjawat awam untuk menjayakan segala perubahan menerusi program-program transformasi kerajaan.
Sebagai ketua kerajaan Malaysia, Najib berharap penjawat awam mentransformasikan sektor kerajaan menjadi lebih cekap, responsif dan berani berubah.
Kenaikan gaji dengan kadar kenaikan tahunan sebanyak RM80 hingga RM320 bagi Gred 1-54 dan Elaun Bantuan Sara hidup (Cola) sebanyak RM250 bagi kawasan B dan RM150 bagi kawasan C tidak diberi kerana ‘suka-suka.’
Faktor utamanya mungkin kerajaan memikirkan untuk memastikan modal insan yang berkelayakan, berprestasi tinggi dan bermotivasi berkhidmat dan terus kekal dalam sektor awam.
Satu lagi kerana penjawat awam juga menerima kesan peningkatan kos sara hidup sekarang. Kenaikan tersebut akan dapat meringankan beban yang dirasai oleh penjawat awam terutama mereka yang berada dalam kumpulan terendah.
Selain itu kerana faktor kemampuan kewangan kerajaan yang mana kutipan cukai negara bertambah dengan ketara, manakala keberkesanan perbelanjaan dapat dipertingkatkan.
Kesan pengumuman Najib itu juga mengukuhkan andaian bahawa skim gaji dan pencen yang kompetitif dalam sektor awam akan menarik lebih ramai rakyat mohon untuk berkhidmat dengan kerajaan berbanding sektor swasta.
Dalam keseronokan menerima gaji baru, penjawat awam kena ingat dan perlu sedar bahawa dengan kenaikan gaji itu maka harapan seluruh rakyat dan kerajaan terhadap mereka juga akan meningkat.
Gunakanlah peluang ini untuk terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat. Orang awam mahu melihat mutu perkhidmatan yang terbaik, yang setimpal dengan kenaikan gaji itu.
Mereka mesti bekerja dengan cekap, cepat dan adil. Berilah perkhidmatan yang dapat memuaskan hati pelanggan.
Jika harapan ini dihampakan, yang menerima padahnya ialah parti yang memerintah Kerajaan Pusat sekarang iaitu BN.
Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas (Kelantan dan Kedah), DAP (Pulau Pinang) dan PKR (Selangor) pun wajar membuktikan keikhlasan membela nasib kakitangan awam dan pegawai-pegawainya.
Mereka juga mengharapkan mendapat kenaikan gaji. Mampukah pakatan pembangkang melaksanakan kenaikan gaji kakitangan awamnya?
Mungkin kita kena tunggu jawapan daripada pemimpin pembangkang yang mendakwa prihatin masalah rakyat.
No comments:
Post a Comment