Terlebih saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atau lebih dikenali dengan nama PRAGMATIS sesi 2011/2012 yang baru terpilih semasa Persidangan Agung Tahunan pada 31/1/2011 baru baru ini. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang pernah terlibat sebagai Jawatankuasa Penaja kerana bertungkus lumus menyumbang tenaga, usaha dan masa demi menjayakan matlamat persatuan ini.
Peralihan kepimpinan yang berlangsung secara teratur memancarkan kematangan ahli-ahli PRAGMATIS dalam berpersatuan dan menterjemahkan konsep kepemimpinan dalam organisasi dengan penuh yakin. Seperti yang diketahui bahawa USIM ditubuh berasaskan keunikan matlamat yang digariskan iaitu memartabatkan Pengajian Islam dalam arus perdana. USIM menjadi IPT terfokus pertama ditubuhkan di era pasca penubuhan universiti premier tanah air. Ini menjadikan USIM sebagai pelopor kepada kewujudan IPT di abad ke 20 tanah air yang dianggap telah menempuhi tempoh matang dalam pelbagai ruang ringkup termasuklah keupayaan pasukan pengurus pentadbirannya.
Dengan semangat yang tinggi diperlihatkan oleh kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas USIM, saya berasa amat yakin bahawa ahli-ahli PRAGMATIS mampu menyemarakan serta mempertahankan keunikan Universiti yang kita sayangi ini. Bagi mempertahankan keunikan itu, kita mesti berusaha menjadikan Universiti ini sebagai destinasi ilmu yang menarik dan teguh dengan asas citra penubuhannya. Berusaha memastikan segala pencapaian yang hendak diperolehi harus merentasi tahap biasa bagi menyerlahkan kehebatan USIM sebagai institusi ilmu. Di samping itu, semestinya kita perlu menjadikan USIM ini diakui dan diterima oleh semua pihak.
Justeru, Saya meletakan sandaran yang tinggi kepada PRAGMATIS ini untuk memperlihatkan bertapa signifikannya peranan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas dalam sistem Pentadbiran Universiti. Biarpun ada yang berandaian kumpulan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas ini sebagai pelengkap dan bukannya pemain utama dalam sistem pentadbiran, namun pada hakikatnya kumpulan ini adalah teras kepada perjalanan sistem pentadbiran Universiti. Pada saya ini bermula dari persepsi yang silap dimana budaya kerja defensif yang mendominasi sebahagian besar dari kalangan pegawai menyebabkan persepsi sedemikian merebak dan hampir menjadi kepercayaan. Bertambah malang apabila terdapatnya kalangan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas sendiri yang beranggapan sedemikian.
Sebab itu saya mahukan PRAGMATIS terus mendokong bersama transformasi yang dilakukan oleh Pengurusan Universiti. USIM memerlukan kumpulan pengurus yang dinamik, berinovasi serta bersedia menjadi peneraju perubahan pada bila-bila masa. Memulakan langkah ini, kita mesti yakin dan berasa seronok dengan profesion yang dipikul. Jawatan yang sandang itu adalah cermin kewibawaan diri. Semua Pegawai Tadbir dan Ikhtisas adalah tulang belakang dan aset Universiti. Insya Allah kita akan terus bersama membangunkan Universiti ini dan juga bangga dengan profesion kita.
Sekian, wassalam
8 Februari 2011 / 5 Rabiul Awal 1432
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)