DAS cungkil wibawa pendebat

Saifuddin Abdullah (tiga dari kanan) bersama pendebat dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang menjuarai Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar antara IPT 2010 di Universiti Malaysia Terengganu, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU 22 Julai – Mahasiwa lazimnya dilihat berada dalam kelompok utama barisan depan yang akan menerajui dan mencorakkan masa depan negara melalui kepimpinan, pentadbiran dan jentera pelaksana.
Selain kecemerlangan akademik, tahap keupayaan mereka kelak turut bersandarkan kemahiran komunikasi yang tinggi dan kefahaman meluas untuk meyakinkan umum terhadap sebarang persoalan dan pendekatan.
Debat merupakan salah satu pendekatan untuk mengasah kemampuan dalam berkomunikasi, selain menggalakkan mereka untuk berfikiran lebih terbuka, kritis, analitikal, rasional dan kreatif serta celik pengetahuan berhubung isu yang dikupas.
Justeru banyak pertandingan diadakan di peringkat institusi pengajian tinggi setiap tahun termasuk Debat Alam Sekitar (DAS) yang menjadi legasi debat paling lama bertahan malah mengekalkan prestijnya sebagai kejuaraan yang diidamkan.
DAS antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang paling konsisten dan memasuki tahun ke-20 usia penganjurannya, menjadi pertandingan debat tertua dan paling mendapat sambutan.
Ia dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama kukuh Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Dalam pertandingan 2010 yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan hujah meyakinkan muncul sebagai juara sekali gus memecah tradisi penguasaan universiti awam sekian lama.
Institusi pengajian itu yang diwakili Junnyaruin Anak Barat, Muhammad Imran Muiz Abidin, Muhamad Siddiq Mahyuddin dan Mohd. Khazaidi Kamaruddin menewaskan pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam peringkat akhir debat tersebut.
UTP bertindak sebagai kerajaan berdebat berhubung usul Penguatkuasaan Undang-Undang Lebih Berkesan Daripada Pemantapan Kesedaran Dalam Menyelamatkan Alam Sekitar.
Dengan kemenangan dalam pertandingan debat berprestij itu, UTP membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, wang tunai RM8,000 dan sijil penyertaan.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha 1, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Aziyah Mohamed dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.
Komitmen yang semakin tinggi daripada pihak IPT dapat dilihat melalui peningkatan penyertaan yang melibatkan 25 universiti awam dan swasta pada tahun ini berbanding lapan universiti awam apabila ia dimulakan pada tahun 1991.
Sepanjang penganjurannya, hanya tujuh universiti pernah menjulang kejuaraan dengan UIA paling banyak memenanginya iaitu sebanyak enam kali (1992, 2000, 2003, 2005, 2006 dan 2007), diikuti Universiti Malaya yang menjuarai empat kali (1993, 1998, 2002 dan 2004).
Universiti Putra Malaysia (UPM) pula muncul juara bagi tiga edisi (1991, 1994 dan 2009), Universiti Sains Malaysia (USM) juga tiga kali (1995, 1996 dan 1997) manakala Universiti Malaysia Sabah menang pada 1999, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2001 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2008.
Mengimbau rentetan sejarah penganjuran, DAS bermula dengan format debat konvensional dengan tujuh sesi perdebatan menggunakan sistem kalah mati (empat perdebatan pada peringkat awal, dua separuh akhir dan satu akhir).
Pertandingan tahunan pertama itu yang dilangsungkan di UKM dimenangi oleh UPM.
Pada tahun 1995, format DAS dipinda dengan memasukkan sesi debat terbuka dan tambahan masa 12 minit diberikan untuk sesi yang mirip berbalas pantun sebelum sesi penggulungan.
Debat yang menjurus ala Parlimen mula diperkenalkan pada 2002 di UIA untuk memberi peluang kepada generasi muda IPT memahami tatasusila di Parlimen.
UM menjuarai pertandingan dengan konsep baru itu yang terus dikekalkan sehingga pertandingan tahun ini.
Dengan kaedah debat yang lebih menarik dan meriah, ia lebih mencabar keupayaan pendebat untuk berhujah dan menyampaikan segala maklumat yang disusulkan dengan lebih fokus selain menguji pemahaman dan penguasaan isu melalui celahan dan jawapan kepada celahan semasa debat berjalan.
Pada 2003, DAS melakar lembaran sejarah dengan penyertaan dibuka kepada IPTS yang menarik penglibatan Universiti Tenaga Nasional, UTP dan Universiti Multimedia.
Meskipun sudah muncul beberapa pertandingan debat lain selepas 2000, ia tidak mengurangkan populariti DAS yang terus kekal berada dalam kelasnya tersendiri.
Selain menuntut ketepatan fakta untuk didebatkan, isu tempatan dan antarabangsa yang menjadi tajuk perdebatan memerlukan pembacaan, kajian dan penghayatan kesedaran di kalangan pendebat sebelum diterjemahkan dalam bentuk perbahasan.
DAS merupakan medan kupasan pelbagai isu permasalahan alam sekitar secara ilmiah yang boleh memangkin kesedaran terhadap kecintaan alam sekitar, suatu anugerah tak ternilai yang sering digadaikan atas nama pembangunan.
Kelangsungan tekad untuk memelihara alam sekitar sekurang-kurangnya dapat dicanai oleh golongan mahasiswa sebagai wahana pemupukan kesedaran di kalangan generasi muda.
Ia demi membina tanggungjawab bersama agar anugerah ini dapat terus dikekalkan dan diwarisi oleh generasi hari muka demi kesejahteraan hidup mereka.

No comments:
Post a Comment