ARKIB UTUSAN : 17/07/2010
Usaha tarik pelajar Indonesia ke Malaysia perlu lebih agresif
KETIKA penulis baru ditukar ke Jakarta dan tugasan pertama di luar ibu negara Indonesia adalah ke Lampung.
Oleh kerana tugasan yang diperolehi pada saat-saat akhir, penulis tidak dapat membeli tiket penerbangan.
Namun sebagai wartawan memang tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu tetap berusaha dan pada masa yang sama mengharapkan pertolongan daripada Allah. Sebagai ikhtiar terakhir penulis mendaftar nama di dalam senarai menunggu di lapangan terbang seawal pukul enam pagi.
Ketika itu penulis didatangi seorang lelaki berusia sekitar 50-an. Lelaki itu tempang kaki kirinya mengheret beg berodanya dan terus duduk di kerusi bersebelahan penulis.
Rupa-rupanya kami mahu menuju ke destinasi yang sama iaitu ke Lampung. Cuma bezanya penulis ke sana untuk bekerja, sedangkan lelaki berkenaan mahu pulang ke kampungnya.
Dia sebenarnya baru pulang dari Kuala Lumpur selepas menjenguk anaknya yang kini belajar di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur. Akhirnya lelaki yang berketerampilan cukup sederhana itu yang membantu penulis mendapatkan tiket penerbangan.
Baru-baru ini ketika membuat liputan pameran pendidikan tinggi Malaysia di Jakarta yang dijalankan oleh Pejabat Promosi Pendidikan Tinggi Malaysia di Jakarta, penulis sekali lagi teringatkan lelaki berkenaan.
Anak perempuan lelaki berkenaan merupakan salah seorang daripada 9,812 mahasiswa Indonesia yang menuntut di Malaysia dan mereka adalah sebahagian daripada 80,000 pelajar asing yang melanjutkan pelajaran ke negara kita.
Melihatkan jumlah pelajar dari Indonesia yang tidak sampai 10,000 orang itu, lantas terfikir oleh penulis mengapakah jumlahnya terlalu kecil berbanding jumlah penduduk republik itu hampir 240 juta orang.
Jika diambil 10 peratus daripada jumlah penduduk itu adalah golongan kaya ia bermakna kira-kira 24 juta orang dan daripada jumlah itu jika 0.5 peratus sahaja dapat dipikat untuk menghantar anak melanjutkan pelajaran ke Malaysia, jumlahnya pastinya mencecah jutaan.
Namun melihatkan cara promosi diadakan, penulis segera memahami mengapa jumlah mereka yang memilih Malaysia masih lagi kecil. Pertama promosi itu diadakan di sebuah hotel lima bintang, pastinya bukan tempat tumpuan orang ramai.
Kedua pula para pelajar yang dibawa ke pameran itu adalah pelajar tingkatan empat atau di Indonesia disebut sekolah menengah atas kelas dua yang belum mempunyai perancangan ke pengajian tinggi kerana masih mempunyai dua semester lagi di alam persekolahan.
Seharusnya pameran itu diadakan di pusat membeli-belah mewah yang banyak terdapat di kota Jakarta yang menjadi tumpuan golongan kaya membeli-belah.
Penulis yakin pameran yang diadakan di hotel lima bintang itu hampir tidak disedari kewujudannya oleh penduduk Jakarta yang berjumlah kira-kira 9 juta orang itu.
Oleh itu pada pandangan penulis satu rangka model promosi harus disediakan dan Indonesia perlu dijadikan projek perintis kepada model tersebut dan bukan hanya promosi yang boleh dianggap sebagai 'melepas batuk di tangga' sahaja standardnya.
Promosi harus dilakukan secara besar-besaran dan bukan hanya membabitkan bahagian promosi pendidikan di Jakarta sahaja, tetapi satu pasukan khusus dari Malaysia yang membabit pelbagai agensi kerajaan.
Ini adalah kerana pendidikan kini merupakan sebahagian daripada cabang potensi pelancongan yang cukup besar pasarannya untuk diterokai, khususnya di negara jiran yang sedang pesat membangun.
Promosi secara bersepadu membabitkan pelbagai kementerian yang berkaitan akan memberi impak yang lebih besar, daripada pameran berskala kecil.
Promosi bersepadu membabitkan pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan pelancongan sukan contohnya bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung, tetapi juga dapat menjimatkan kos.
Mungkin syarikat gergasi Malaysia yang terdapat di Indonesia seperti Proton, Kumpulan Perubatan Johor, Bank CIMB Niaga, Bank BII Maybank dan Petronas dapat bersama-sama mengambil bahagian dalam promosi tersebut.
Kegiatan itu pula harus dijalankan dalam bentuk jelajah ke seluruh Indonesia melalui bandar-bandar utama seperti Jakarta, Bandung, Cirebon, Semarang, Solo, Malang, Surabaya, Lampung, Palembang, Padang, Pontianak, Balikpapan dan sebagainya.
Melalui promosi yang maksimum itu barulah jumlah pelajar Indonesia yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Malaysia akan dapat ditingkatkan.
Tidak memberi sebarang makna jika pelbagai kelebihan pendidikan di Malaysia termasuk kos yang rendah, kualiti pendidikan sama taraf dengan universiti di Barat serta pelbagai kemudahan lain yang disediakan kepada pelajar asing tidak didedahkan sepenuhnya kepada mereka yang berpotensi menjadi pelanggan.
.
No comments:
Post a Comment