Perkahwinan elak Malaysia dihuni warga tua
KADAR kelahiran bayi di Malaysia yang dijangka terus menurun sehingga ke paras bawah dua peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang boleh menyebabkan struktur kependudukan negara menuju kepada peningkatan golongan warga tua.
Ketika ini peratusan kadar kelahiran bayi adalah 2.2 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2000. Angka itu akan terus menurun di bawah dua peratus pada 2030. Peningkatan warga tua berbanding golongan muda bukan sahaja akan memberi kesan kepada pertumbuhan penduduk tetapi juga daya maju negara.
Sesuatu yang bersifat subjektif dan peribadi ialah keputusan untuk berkahwin atau tidak, melambatkan perkahwinan dan sekiranya sudah berkahwin, berapa anak yang diinginkan.
Ada yang melihat faktor utama wanita berkahwin lewat bukanlah disebabkan terlalu taksub dengan kerjaya, tetapi tidak menganggap perkahwinan sebagai cita-cita yang perlu dipenuhi terlebih dulu berbanding perkara lain.
Persoalan juga timbul, apakah kecenderungan untuk berkahwin atau tidak banyak dipengaruhi oleh faktor seperti perubahan struktur penduduk, keadaan dan keperluan wanita seperti melanjutkan pelajaran dan bekerja membantu keluarga.
Kesukaran mendapat pasangan sesuai atau sepadan serta alasan ekonomi atau masalah peribadi juga dilihat antara faktor penyumbang kepada senario kahwin lewat. Memandangkan bahawa jumlah lelaki dan wanita yang berkahwin lewat semakin ramai, ia dilihat sebagai masalah sepunya masyarakat dan bukannya bersifat individu lagi.
Melalui keadilan gender dari aspek pendidikan dan kerjaya, ia banyak mempengaruhi pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan apalagi yang memegang jawatan profesional. Secara tidak langsung ia menggalakkan keadaan untuk berkahwin lewat dan mempunyai sedikit anak untuk terus berlaku.
Bukan mudah untuk berhadapan pandangan negatif masyarakat seperti dipandang serong hanya kerana diri belum atau tidak berkahwin. Dalam menukar minda dan sikap terhadap kecenderungan berkahwin lewat, kita perlu bersandarkan nilai agama dan budaya orang Timur. Agama Islam, contohnya menuntut umatnya berkahwin awal bagi menghindarkan maksiat.
Perkahwinan adalah satu syariat dan tuntutan dalam membina masyarakat yang unggul dan penting kepada setiap individu bagi menghasilkan keturunan agar dunia tidak kepupusan makhluk daripada bangsa manusia.
Kahwin pada usia lewat tanpa alasan kukuh hanya akan memberi lebih banyak kesan negatif dari positif kepada individu dan orang sekeliling. Adalah penting untuk keluarga terutama ibu dan teman rapat memberi sokongan psikologi dan emosi kepada individu berminat untuk berkahwin. Kita juga hendaklah memberi peluang dan jangan terlalu mengharapkan bakal pasangan akan sempurna kerana diri sendiri juga belum tentu sesempurna untuk pasangan kita.
Ada pandangan yang berpendapat syarat berpoligami dilonggarkan dalam usaha mengatasi masalah wanita berkahwin lambat kerana Islam membenarkan perkara terbabit. Ada yang melihat pandangan ini sukar diterima wanita yang sering melihatnya sebagai perkara negatif.
Seperti mana kata, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seia Kie, bagi menangani isu kadar kelahiran bayi yang rendah, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta harus bekerjasama dalam menyediakan sistem sokongan kepada pekerja agar mereka dapat menyeimbangkan antara kerjaya dan keperluan berkeluarga.
Prof. Madya Dr. Sapora Sipon
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
No comments:
Post a Comment