Mesti berani bersaing - MB
|
|
SEREMBAN 6 Julai - Warga kampus khususnya mahasiswa baru hendaklah menjadi insan berani untuk bersaing dengan sesiapa sahaja termasuk dengan penuntut asing.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara memerlukan graduan yang cekal hati dan berupaya menangani pelbagai cabaran mendatang dengan profesional, cekap serta bijaksana.
''Penuntut wajar menggunakan peluang yang ada di universiti untuk membentuk jati diri yang kuat, berkeupayaan mencipta keyakinan tinggi selain mampu mengekang segala cabaran yang mendatang.
''Sebab itu semua aspek intelektual, kepakaran dan kemahiran selain emosi dan nilai murni diseimbangkan agar insan yang lahir dari sesebuah universiti mempunyai tahap pemikiran kelas satu selain bertindak dengan corak dan gaya kelas satu," katanya di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Amanat dan Lafaz Ikrar Penuntut Baru Sarjana Muda, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2010/2011 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini hari ini.
Tambahnya, pelajar baru USIM juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek akademik sahaja, tetapi bertindak cemerlang dalam semua aktiviti di peringkat universiti untuk menjadi lebih matang.
''Penuntut USIM hendaklah sentiasa berada di hadapan, menjadi insan hebat dan paling utama berupaya menduduki pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta.
''Jangan kita berasa terlalu rendah diri, jangan pula kita berasa terlalu kecil hanya kerana datang dari kampung mahupun desa.
''Kita harus mendabik dada dan menonjolkan keberanian dalam mencipta kecemerlangan dalam akademik serta kegiatan kokurikulum," kata Mohamad.
Pada sesi pendaftaran itu, seramai 1,528 pelajar baru telah melafazkan kesetiaan dengan USIM serta berjanji untuk menjadi insan cemerlang.
''Keseimbangan kecemerlangan antara sahsiah dan akademik adalah sangat penting dan ia merupakan idea kepada penerusan generasi kepimpinan negara.
''Kecemerlangan sahsiah boleh dicapai melalui penekanan terhadap aspek pendidikan Islam, selain memenuhi keperluan modal insan negara seperti yang disebut dalam misi nasional serta Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN)," katanya.
No comments:
Post a Comment