ARKIB : 30/06/2010
Irama tirai besi
|
|
MUNGKIN ramai yang beranggapan bahawa kehidupan di penjara langsung tidak ada kebebasan terutamanya bagi mereka yang minat berkarya. Hakikatnya pelbagai aktiviti telah dijalankan dan dianjurkan bertujuan membentuk sahsiah dan jati diri penghuni penjara di samping menggilap bakat dalam bidang seni.
Atas rasa tanggungjawab dan kesedaran dalam mendekatkan penghuni penjara dengan masyarakat umum serta mengubah persepsi mengenai penghuni penjara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia telah menganjurkan Festival Cipta Lagu Patriotik (Cipta) 2010, pada Mei lalu.
Program kali ketiga ini bertujuan menyemarakkan aktiviti promosi dan pembangunan sahsiah di kalangan warga kampus agar dapat melahirkan mahasiswa yang peka kepada persekitaran masyarakat khususnya pelajar sekolah.
Sebanyak 15 buah lagu hasil ciptaan pelajar USIM dan 15 buah lagi karya penghuni penjara berentap untuk dipilih ke peringkat akhir yang bakal berlangsung pada 7 Ogos 2010.
Pihak juri yang terdiri daripada penyanyi terkemuka tanah air, Nash dan Siso memilih empat lagu terbaik dari USIM dan empat lagu terbaik dari penjara untuk bertanding ke peringkat akhir.
Menurut Nash, Kebanyakan lagu yang dihasilkan mempunyai kualiti. Malah akuinya, lagu yang dihasilkan oleh penghuni penjara lebih jujur dan menyentuh jiwa.
"Tetapi lirik yang di hasilkan oleh pelajar USIM lebih puitis. Ini mungkin disebabkan persekitaran mereka yang kaya dengan ilmu dan bahasa-bahasa indah.
"Mereka sangat berpotensi tetapi perlu ada jiwa tersendiri dalam mencipta lagu, agar ia nampak lebih jujur.
"Saya sangat menyokong usaha yang telah dilakukan oleh USIM dan berharap agar program bersifat patriotik ini dapat dilakukan secara menyeluruh merangkumi segenap masyarakat.
"Lagu patriotik tidak semestinya terlalu rigid, tetapi harus bersahaja, mudah difahami dan diterima oleh masyarakat," ujarnya.
Seorang peserta, Nur Fatimah Zaharah Ahmad, 22, dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata, ini kali ketiga dia menyertai pertandingan itu dengan mempertaruhkan lirik dan lagu ciptaannya.
"Sekiranya lirik atau lagu saya terpilih ke peringkat akhir, saya lebih suka memberikan kegembiraan itu kepada penghuni penjara yang sama-sama bekerjasama dalam menghasilkan lirik dan lagu tersebut.
"Program sebegini dapat membuktikan kepada masyarakat, walaupun USIM tidak mempunyai aliran muzik, tetapi pelajar USIM mampu menghasilkan lirik dan lagu dengan baik," katanya.
Shahril (bukan nama sebenar) yang merupakan salah seorang penghuni penjara yang mengambil bahagian berkata, dia telah menggubah lima buah lagu dan empat lagu telah terpilih untuk ke peringkat saringan.
"Sekiranya lagu saya terpilih ke peringkat akhir, saya pasti gembira dan bersyukur. Saya berpendapat program sebegini sangat bagus terutamanya bagi penghuni penjara untuk mengisi masa lapang, di samping dapat mengasah bakat seni mereka," ujarnya.
Persembahan Peringkat Saringan sempena Festival Cipta Lagu Patriotik ini turut di hadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Asin Dollah.
No comments:
Post a Comment