Selamat Datang ke Blog rasmi Persatuan Pegawai Tadbir Dan Ikhtisas USIM atau PRAGMATIS

Selamat Datang ke Blog rasmi Persatuan Pegawai Tadbir Dan Ikhtisas USIM atau PRAGMATIS
MOTTO : "PRAGMATIS Meneraju & Memimpin Kecemerlangan"

QUOTES

"Sebagai satu pasukan kita harus memiliki sikap percaya mempercayai, yakin menyakini dan faham memahami di antara satu sama lain." Y.Bhg Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin

Monday, March 12, 2012

Sisi ekonomi kesan gaji SSM

ALHAMDULLILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT isu mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Biarpun masih ada segelintir yang tidak berpuas hati, namun, suara majoriti kakitangan awam berjaya mengatasi tindakan tergesa-gesa yang dilakukan oleh segelintir golongan yang menguasai perkhidmatan awam.

Sebarang tindakan yang dilakukan dengan tergesa-gesa, nescaya kesannya tidak meyakinkan sesiapa sahaja, bahkan memburukkan lagi keadaan.

Sektor awam adalah jentera yang amat penting di Malaysia, nasib para pekerjanya perlu dibela dan dijaga. Tindakan yang menyebabkan mereka berasa tidak puas hati bukan sahaja boleh memudaratkan kerja-kerja mereka sebagai individu tetapi juga memberi implikasi negatif terhadap ekonomi negara.

Jangan sesekali memandang remeh suara-suara mereka. Gunalah kuasa yang diamanahkan oleh Allah SWT sebaik-baik mungkin dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.

Tahniah kepada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) yang berjuang habis-habisan membela nasib majoriti para pekerja sektor awam terutamanya golongan bawahan. Cadangan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam perlu disegerakan dan ahli-ahlinya mestilah mewakili keseluruhan para pekerja di sektor awam dan bukannya dikuasai oleh segelintir golongan yang tidak memahami kedudukan para pekerja bawahan.

Jangan diulang lagi kesilapan yang dilakukan di bawah SBPA kerana ia menjejaskan reputasi dan imej kerajaan itu sendiri.

Bagi pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), tambahan peruntukan adalah sebanyak RM6 bilion. Bayangkan betapa besarnya peruntukan bagi membiayai pelarasan gaji sekiranya SBPA dilaksanakan sepenuhnya berbanding di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Tidak mustahil, tidak sampai lima tahun, Malaysia di ambang kemuflisan kerana terpaksa berhutang menggunakan dana luar melalui penerbitan bon kerajaan. Wang yang dikutip melalui cukai pastinya tidak mencukupi kerana wang tersebut juga digunakan untuk sektor-sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan.

Tindakan memansuhkan SBPA dengan menggantikan SSM yang ditambah baik adalah tindakan yang mengambil kira kedudukan kewangan negara.

Pelarasan gaji kakitangan awam boleh memacu ekonomi domestik negara dengan peningkatan perbelanjaan pengguna. Limpahan ini bukan setakat untuk kakitangan awam tetapi untuk para peniaga yang sentiasa mendambakan peningkatan hasil jualan. Sekali gus ia boleh merancakkan keseluruhan ekonomi negara ketika dunia bergelut dengan krisis ekonomi.

Ia umpama pakej rangsangan yang menjadi penampan buat seketika bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi terhadap negara kita. Namun demikian, apa yang dikhuatiri adalah kesan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Perkara ini acapkali berlaku dan pihak yang berkenaan perlulah bertindak dengan segera agar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak berlaku.

Satu perkara yang cukup menarik adalah Bank Negara Malaysia (BNM), minggu lalu telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus. Ini membayangkan kadar inflasi dijangka stabil dalam tempoh terdekat ini. Dengan pengumuman pelarasan gaji kakitangan sektor awam, inflasi akan meningkat jika pihak berkenaan tidak berusaha mengambil tindakan segera terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Ketika itu, BNM berkemungkinan membuat keputusan untuk menaikkan OPR. Kenaikan OPR boleh mengurangkan jumlah pinjaman seterusnya boleh mengurangkan perbelanjaan pengguna.

Secara tidak langsung, boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang mana pada masa akan datang banyak bergantung pada ekonomi domestik berbanding pelaburan langsung asing (FDI).

Justeru, ekosistem ekonomi negara yang baik diperlukan bagi memakmurkan negara merangkumi semua pihak terutama pihak berkuasa dan penguat kuasa yang diamanahkan untuk "menjaga" ekonomi negara.

Di samping itu, pengumuman SSM memberi sedikit kelegaan buat para pekerja sektor awam yang bakal menikmati kenaikan Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).

Kenaikan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi yang dirasai oleh para pekerja sektor awam.

Kesan kenaikan kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja dirasai oleh mereka yang bekerja di bandar-bandar besar tetapi juga mereka yang bekerja dan menetap di pedalaman.

Gaji dan COLA telah dinaikkan, bagaimana pula dengan produktiviti para pekerja sektor awam? Mahu tak mahu, para pekerja sektor awam perlu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan mereka.

Produktiviti sektor awam sekurang-kurangnya perlu ditingkatkan pada paras kenaikan gaji dan COLA. Jika ia berada di bawah kenaikan gaji dan COLA, ia boleh menjejaskan ekonomi negara. Produktiviti adalah antara enjin utama pertumbuhan ekonomi mana-mana negara di dunia.

Produktiviti melebihi kadar upah membawa implikasi positif kepada negara. Justeru, dalam keadaan sebegini, tidak menjadi satu masalah untuk kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

BELAIAN JIWA

Kunci Orang Beriman.

Surah al-Anfal, ayat 2-4 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).”

.
Berdasarkan ayat di atas, terdapat lima (5) kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap benar-benar beriman kepada Allah s.w.t, iaitu :

1) Apabila disebut nama Allah akan merasa gementar hati mereka.

2) Apabila dibaca ayat-ayat Allah, semakin bertambah iman mereka.

3) Sentiasa berserah diri kepada Allah s.w.t pada setiap waktu.

4) Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah s.w.t.

5) Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah, maka dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah s.w.t.


Popular Posts

PROGRAM DILAKSANAKAN 2011/2012


PROGRAM KEBANGSAAN / ANTARABANGSA
1. Lawatan Intelek Ke Prince Of Songkla, Thailand : 16-19 Julai 2011
2. Program Sumbangsaran Intelektual Kebangsaan IPTA "Trasformasi Kecemerlangan Skim Pentadbiran IPTA" di USIM, Nilai : 23 Mac 2012

PROGRAM SEMARAK KEKITAAN PRAGMATIS
1. Majlis Hi-Tea PRAGMATIS Bersama Pendaftar, Alson Hotel, Nilai : 6 Julai 2011