Kembalikan roh universiti
DENGAN berakhirnya April lalu, maka genaplah setahun saya bertugas di Kementerian Pengajian Tinggi. Dalam tempoh itu, saya belajar banyak perkara, termasuk tentang universiti kita, iaitu tentang apa yang pernah dilakukan sebelum ini, apa yang sedang dilakukan kini dan apa yang perlu dilakukan selepas ini.
Impian semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung. Universiti yang ulung - Ivy League, 10 teratas, universiti apex, universiti penyelidikan dan sebagainya - dilihat oleh masyarakat sebagai kemuncak peluang yang dikejar setiap belia yang bercita-cita tinggi.
Tetapi, apakah ciri-ciri sebenar sebuah universiti yang ulung? Adakah universiti menjadi ulung kerana berada di tangga teratas dalam penarafan? Adakah penarafan itu berdasarkan fundamental atau sekadar persepsi?
Adakah universiti menjadi ulung kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa, yang sesetengahnya menganugerahkan hadiah dengan cara yang bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan pada tahun berikutnya dan yurannya bertambah setiap tahun?
Adakah universiti menjadi ulung kerana terkehadapan dalam penyelidikan bagi disiplin tertentu? Adakah universiti menjadi ulung kerana kecemerlangan pengajarannya?
Soalan-soalan ini dilontarkan kerana sebahagian daripada kita seperti telah terlupa akan roh universiti. Terlupa ingatan Syed Naquib al-Attas bahawa "intipati sebenar universiti bukan bangunannya atau penampilan fizikalnya. Sesungguhnya, dalam sejarah mana-mana universiti, para pensyarah dan pelajar yang menuntut daripadanya adalah kandungan utama kewujudan universiti itu". Maknanya, keulungan universiti adalah bergantung pada budaya ilmu yang dihayati oleh keluarga universiti itu.
Kita bimbang jika tersasar daripada matlamat memburu kecemerlangan yang holistik, tetapi sebaliknya terperangkap dalam apa yang disifatkan oleh Harry Lewis (2006) dalam bukunya, Excellence Without Soul, sebagai 'kecemerlangan lompong'.
Kita tidak mahu mengalami masalah yang ditimbulkan oleh Frank Furedi (2006) dalam bukunya, Where Have All the Intellectuals Gone? iaitu keadaan intelektual Amerika Syarikat (AS) kini yang kekurangan pemikir besar seperti Betrand Russel, Raymond Williams dan Hannah Arendt, tetapi sebaliknya diganti oleh peramal dangkal, pengkaji apologis dan pemutar isu.
Sebahagian daripada kita kelihatan asyik dalam apa yang dianggap sebagai fungsi-fungsi kontemporari universiti, iaitu: menjalankan program-program akademik yang diiktiraf oleh agensi profesional dan akreditasi; melaksanakan kurikulum untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan; memfokus kepada penyelidikan yang dibiayai pelbagai pihak; dan menjadikan aktiviti komersial salah satu indikator prestasi.
Semua ini adalah fungsi yang sah dan baik. Tetapi, pada masa yang sama, kita tidak boleh lupa akan fundamental universiti, seperti kebebasan akademik dan autonomi. Di sini, universiti perlu bijak menyeimbangkan hubungannya dengan dua sektor penting, iaitu kerajaan dan perniagaan.
Dalam hubungan dengan kerajaan, kita diingatkan oleh buku Henry Giroux (2007), The University in Chains, di mana dalam menghadapi hubungan tentera-industri-akademia di AS, sesetengah universiti mengiyakan apa sahaja yang diarah kerajaan. Kerajaan sedang memberikan lebih autonomi kepada universiti kita. Universiti perlu menggunakan kebebasan ini dengan optimum.
Kerajaan menggalakkan universiti awam meningkatkan kerjasama dengan industri. Di samping itu, kita memerlukan dan mempunyai sejumlah universiti swasta. Dalam hal ini, kita diingatkan oleh buku Derek Bok (2003), Universities in the Market Place, di mana beliau membicarakan kritik-kritik terhadap beberapa kesan negatif pengkomersialan pengajian tinggi atau sebahagian daripada aktivitinya.
Mengapakah perlu dikembalikan roh universiti?
Ia perlu kerana apabila dilihat perbincangan oleh sebahagian daripada kita yang bertanggungjawab terhadap universiti, terdapat banyak perbincangan tentang masalah dunia, pasaran pekerjaan, kerja kuat dan kejayaan. Tetapi, jarang terdengar perbincangan tentang kekuatan peribadi, integriti, memburu dan menghayati budaya ilmu, kerjasama, idealisme, dan paling penting - bagaimana untuk hidup dalam dunia yang lebih baik, dan bagaimana meninggalkan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik daripada masa kita tinggal dalamnya.
Kelihatannya, semakin ulung sesebuah universiti, maka semakin hebat fokusnya terhadap kejayaan kompetitif dalam pasaran pensyarah, pelajar dan dana penyelidikan, tetapi semakin kendur fokusnya untuk berbicara dengan serius tentang pelajar dan pembangunannya menjadi insan kamil. Banyak bercakap tentang banyak perkara, tetapi amat sedikit tentang usaha membangunkan pelajar menjadi insan yang lebih baik.
Kalaupun ada yang bercakap tentang pelajar dan usaha menjadikannya insan lebih baik, tetapi lazimnya, ia dilakukan dengan cara-cara yang terpisah daripada keperluan, imaginasi dan aspirasi sebenar pelajar. Kita bercakap tentang orientasi pelajar, tetapi kita jarang bercakap tentang penghakupayaan pelajar.
Kebanyakan daripada kita tidak pun memahami bahawa pelajar mempunyai tiga permintaan asas, iaitu mereka mahu suaranya didengar, mahu bakat dan peranannya diiktiraf, dan mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang sesuai dengannya.
Kerana itu, kita perlu menghayati ciri-ciri fundamental yang menjadikan universiti itu ulung. Kita perlu bermula dengan definisi ilmu yang tepat. Menurut Syed Naquib al- Attas, ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar. Ilmu daripada maklumat palsu bukan ilmu. Ilmu daripada maklumat benar tetapi tidak bermakna juga bukan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita mendidik pelajar dengan ilmu yang benar-benar ilmu?
Selanjutnya, kita perlu menghayati budaya ilmu. Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud, ia terdiri daripada tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi; sentiasa menuntut, membangun, mengongsi dan menilai ilmu; dan setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu. Soalnya, sejauh manakah kita benar-benar menghayati budaya ilmu?
Apakah makna roh universiti? Bagaimanakah mengembalikannya?
Tiada sesiapa punya semua jawapannya. Malah, bagi kita yang memperjuangkan autonomi universiti, kebebasan akademik dan penghakupayaan pelajar, dan dalam politik pula menganjurkan politik baru yang menekankan pendekatan demokrasi partisipatif, maka jawapannya tentulah memerlukan untuk kita merundingkannya dan membinanya secara berjemaah.
Sementara menunggu jawapan itu, ada eloknya jika kita merenung tulisan Henry Rosovsky (1990), The University: An Owner's Manual tentang beberapa ciri universiti ulung:
- Fakulti yang sentiasa mencerna idea dan ilmu baru; penulis buku mengajar.
- Pelajar dari seluruh pelosok dunia dipilih melalui piawaian yang tinggi - kumpulan yang beraneka, menarik dan unggul.
- Membenci pemikiran kolot dan penyelesaian dari atas; mencintai kecemerlangan.
- Mempunyai tradisi yang bermakna.
Penulis adalah Datuk Saifuddin Abdullah ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
No comments:
Post a Comment